Tuesday, 15 April 2014

Budaya dan Adat Kaum Minangkabau



 
Orang Minangkabau merupakan penduduk asal kawasan yang kini dikenali sebagai Sumatera Barat di Indonesia.  Pada permulaan abad ke-14,  masyarakat Minangkabau tiba di Negeri Sembilan melalui Melaka dan sampai ke Rembau.  Selepas itu berlakulah pernikahan antara orang Minangkabau dengan penduduk tempatan dan daripada keturunan mereka dinamakan suku Biduanda.  Suku Biduanda ini merupakan pewaris asal Negeri Sembilan.  Pemimpin hanya dipilih dari suku Biduanda ini.  Para pembesar Negeri Sembilan yang dipanggil ‘Penghulu’ dan kemudiannya dipanggil ‘Undang’ asalnya daripada suku Biduanda dan seterusnya wujud institusi Yang di-Pertuan Besar di Negeri Sembilan.  Minangkabau adalah gabungan daripada perkataan ‘Minang’ yang bermaksud ‘Menang’ dan ‘Kabau’ bermaksud ‘Kerbau’.  Gabungan perkataan ini diperoleh daripada peristiwa perselisihan faham antara kerajaan Minangkabau dengan seorang Putera dari kerajaan Jawa yang meminta pengakuan kekuasaan di Tanah Melayu. Oleh itu,  bagi mengelak daripada berperang masyarakat Minangkabau mencadangkan pertandingan beradu kerbau.  Putera dari Jwa tersebut bersetuju dan menonjolkan seekor kerbau yang besar dan ganas.  Masyarakat Minangkabau pula hanya menonjolkan seekor anak kerbau yang lapar,  tetapi ditajamkan tanduknya.  Semasa bertanding si anak kerbau tidak sengaja merodok tanduknya ke perut kerbau yang besar dan ganas itu untuk mencari puting susu bagi menghilangkan kelaparannya.  Malangnya,  kerbau yang besar dan ganas itu mati kerana tertusuk tanduk si anak kerbau tersebut.  Maka masyarakat Minangkabau telah berjaya menyelesaikan perselisihan tersebut secara aman. 

Keluarga
Masyarakat Minangkabau merupakan masyarakat Matrilineal yang terbesar di dunia.  Adat ini menyebabkan kaum lelaki Minangkabau merantau untuk mencari ilmu dan kemewahan melalui perdagangan.  Kanak-kanak lelaki seawal usia tujuh tahun selalunya akan meninggalkan rumah mereka untuk tinggal di surau yang mana mereka akan diajar dengan ilmu agama dan adat Minangkabau.  Apabila remaja pula mereka digalakkan untuk meninggalkan kampung halaman untuk mencari pengalaman di dunia luar agar mereka dapat menjadi seorang yang lebih matang dan bertanggungjawab kepada keluarga dan nagari (kampung halaman). 

Perkahwinan
Masyarakat Minangkabau umumnya beragama Islam.  Oleh itu,  majlis pernikahan bagi masyarakat ini dilakukan mengikut syariat Islam dan adat mereka yang tersendiri.  Syarat-syarat perkahwinan bagi masyarakat Minangkabau adalah kedua calon mesti beragama Islam,  tidak sedarah/tidak berasal daripada suku yang sama(kecuali persukuan itu berasal dari negeri/luhak yang lain),  saling menghormati antara satu sama lain dan keluarga kedua belah pihak serta calon suami (maripulai) harus mempunyai sumber pendapatan.  Perkahwinan yang tidak memenuhi syarat di atas dianggap perkahwinan sumbang.  Selain itu,  masih ada peraturan tertentu dan upacara adat agama Islamyang harus dipatuhi iaitu majlis jopuik manjopuik,  pinang meminang,  batuko tando,  akad nikah,  baralek gadang,  jalangmenjalang,  dan sebagainya. 

Kematian
Di samping itu,  dalam upacara kematian,  masyarakat Minangkabau mengutamakan perkara-perkara wajib menurut syariat Islam,  seperti pengurusan jenazah.  Seterusnya,  akan diadakan majlis memperingati Allahyarham seperti manujuah hari(majlis memperingati tujuh hari),  duo puluah hari (majlis memperingati hari ke empat puluh dan akhir sekali manyaratuih hari (majlis memperingati hari ke seratus). 

Tarian dan Pakaian
Terdapat tarian piring dan randai sebagai hiburan dalam kehidupan masyarakat Minangkabau.  Tarian piring berasal daripada Sumatera Barat.  Tarian ini menggambarkan rasa kegembiraan dan syukurmasyarakat Minang ketika kedatangan musim panas.  Para muda-mudi akan mengayunkan gerak langkah dan menunjukkan kebolehan mereka dengan memainkan piring yang ada di tangan mereka.  Kebiasaannya,  di Malaysia tarian piring dipersembahkan di hadapan mempelai di luar rumah ketika majlis perkahwinan terutamanya bagi keluarga berada,  bangsawan dan hartawan di sesebuah kampung.  Randai pula merupakan teater rakyat tradisional Minangkabau iaitu melibatkan muzik,  nyanyian,  tarian,  drama dan seni mempertahanka diri iaitu silat.  Kebiasaannya,  randai dipersembahkan ketika menyabut perayaan tradisional dan terselit pelbagai cerita di dalamnya dalam satu masa.  Cerita-cerita yang dikisahkan disampaikan mealui nyanyian dan lakonan berdasarkan lagenda-lagenda Minangkabau dan cerita rakyat.  Randai dipersembahkan oleh kaum lelaki,  namun setelah 1960-an,  perempuan juga telah menyertai persembahan ini.  
Selain itu,  masyarakat Minangkabau juga memiliki alat muzik tradisional khas iaitu Saluang.  Alat muzik ini diperbuat daripada buluh nipis atau talang.  Alat ini mempunyai empt lubang dan panjangny lebih kurang 40-60 cm dan berdiameter di antara 3-4 cm.  Saluang dimainkan seperti seruling di mana pemainnya perlu meniup dam menarik nafas untuk mengalunkan muzik.  

Pakaian
Pakaian lelaki menyerupai Baju Sikap yang dipakai sebagai sut berlima mengandungi baju atau jaket sederhana labuh,  baju di dalam,  berseluar dipadan dengan samping dan dihias pua dengan tengkolok.  Kaum wanita pula berbaju Kurung Teluk Belanga dan berkebaya labuh dipadan pula dengan kain sarung.  Wanita bangsawan yang berketurunan Minangkabau pula,  pakaiannya dari kain baldu bersulam benang emas bertatahkan labuci.  Sarungnya pula dari kain songket penuh tenunan dari Pandai Sikek atau Batu Bara di Sumatera.  Gambar menunjukkan si lelaki memakai pakaian adat pembesar Minangkabau atau Aceh.  Bajunya berwarna hitam dihiasi sulaman benang emas di leher dan lengan.  Celana yang dipakainya pula berkaki lebar,  di samping kain tenun sutera dan destar atau saluak.  Si gadis pula memakai baju kurung bersulam benang emas bermotifkan buluh rebung,  tekuk leher bertekat dan penutup kepala tengkuluk.

No comments:

Post a Comment