Saturday, 19 April 2014

Budaya dan Adat Kaum India




Masyarakat India merupakan etnik ketiga terbesar di Malaysia dan juga salah satu kaum yang telah menyumbang ke arah pembentukan sebuah masyarakat majmuk di negara kita. Seperti masyarakat lain, masyarakat India juga kaya dengan ciri-ciri kebudayaan mereka dan masih mengekalkan kebudayaan tersebut sehingga kini. Adat resam yang diamalkan oleh masyarakat India mempunyai banyak persamaan dengan kebudayaan masyarakat Melayu. Ini jelas terlihat dalam aspek kelahiran dan perkahwinan. Masyarakat India terdiri daripada pelbagai suku kaum, justeru itu maklumat berikut hanya memaparkan adat resam masyarakat India secara umum.

ADAT RESAM



Tanda Hormat
Mereka menyapa dengan sebutan “vanakam” dan sentiasa bertanyakan tentang kesihatan, kerja, perniagaan atau sebagainya. Tetamu sentiasa dijamu minuman atau makanan dan  mesti sudi menerima hidangan dengan baik sebagai tanda hormat kepada tuan rumah. Jika menerima sesuatu, elok digunakan tangan kanan sebagai tanda kebaikan dan kesyukuran.

Peranan Keluarga
Keluarga amat penting dalam masyarakat Tamil. Meskipun bapa memainkan peranan utama tetapi ibu adalah paling dihormati yang dianggap mulia. “Ibu adalah umpama Tuhan” dan anak perempuan pun dipanggil “amma” seperti seorang ibu. Penjagaan anak perempuan amat diberi perhatian.

Perkahwinan
Seorang suami pula adalah “Tuhan bagi isterinya” dan mesti sentiasa dihormati. Oleh itu proses perkahwinan ditentukan oleh seorang ketua agama yang membuat tilikan masa bertuah serta reaksi pasangan berkahwin. Masa  amatlah penting bagi segala acara dan upacara untuk mengelakkan berlakunya mala petaka ataupun nasib buruk. Untuk mengelakkan dari keadaan buruk maka biasanya perkahwinan dilakukan pada waktu tengah malam atau matahari akan naik. Upacara perkahwinan dilakukan di rumah pengantin perempuan ataupun di kuil oleh seorang ketua agama. Pada satu kawasan empat segi di kuil itu, sami akan menyalakan api dan menyembah Tuhan untuk menyaksikan perkahwinan tersebut.

Sewaktu Mengandung
Adat Valaikaappu  dilakukan ketika kandungan sulung wanita hamil menjangkau usia tujuh hingga sembilan bulan. Wanita hamil tersebut akan dipakaikan sebentuk gelang tangan baru yang dikenali sebagai Suulkaappu. Suul bermaksud `kandungan ibu” dan Kaappu pula bermaksud ‘perlindungan’. Gelang ini dipakai bertujuan untuk melindungi bayi di dalam kandungan daripada kesukaran semasa bersalin.
Gelang tangan yang dipakaikan dalam upacara ini terdiri daripada beberapa jenis iaitu gelang kaca, pancalogam dan emas mengikut kemampuan masing-masing. Setelah anak dilahirkan, gelang tangan emas tersebut akan dileburkan untuk dibuat perhiasan bagi bayi tersebut dan akan dipakaikan pada hari pemberian nama.
Pada hari upacara dilakukan, hadiah kepada wanita hamil tersebut yang dikenali sebagai ciir diatur ke dalam dulang yang mempunyai bilangan ganjil. Hadiah ini termasuk barang kemas, sari, gelang tangan, serbuk kumkum, kunyit, buah-buahan, sirih pinang, sikat dan cermin serta pelbagai manisan. Hadiah di dalam dulang ini akan diletak di ruang tamu dan seterusnya upacara memandikan wanita hamil tersebut diadakan. Upacara ini juga dikenali sebagai mutugu niir (kulittal). Wanita hamil tersebut didudukkan di bilik mandi dan dimandikan dengan air seperti air susu, air kunyit, air kelapa muda, air mawar dan bunga-bungaan. Setelah mandi, wanita hamil tersebut akan dihias seperti pengantin dan seterusnya akan dikalungkan dengan kalungan bunga oleh suaminya.
Wanita hamil tersebut dipakaikan dengan sari perkahwinan atau sari baru yang dibeli oleh ibu bapanya dan didudukkan di ruang tamu. Seterusnya lampu minyak kuttu vilakku dihidupkan sebagai memohon restu Tuhan dan sebagai memulakan upacara. Berbagai makanan juga disediakan khas bagi wanita hamil tersebut seperti pelbagai jenis nasi, kuih muih, buah-buahan dan bunga-bungaan.

Semasa Bersalin
Waktu kelahiran adalah penting bagi masyarakat India di mana ia akan dicatat dengan tepat bagi menentukan bintang bayi mengikut almanak Hindu. Bintang bayi ini akan menentukan mental, fizikal dan rohani bayi sehingga dewasa.

Kelahiran
Kelahiran seorang bayi adalah  acara penting keluarga dan masyarakat. Semua saudara mara dimaklumkan apabila lahir seorang bayi. Selama 16 hari selepas lahir keluarga tidak boleh melakukan sebarang upacara agama. Pada hari ke 16 upacara penting diadakan untuk menamakan anak. Rumah akan dihiasi cantik, buaian dihiasi dan jiran-jiran dijemput bersama meraikannya.
Nama seorang anak didapati dari almanak Hindu mengikut bintang dan hari kelahirannya. Seorang ketua agama akan ditanyakan untuk mencari nama bertuah itu mengikut aksara bintangnya. Ketika menamakan, bayi itu dipangku oleh orang tua satu persatu sambil menyanyikan doa agama oleh kaum wanita. Selepas itu, saudara mara yang hadir akan memberinya gelang untuk dipakaikan sebagai tanda selamat. Pada hari ke 30, bayi itu dibawa ke kuil dan upacara diadakan dengan doa selamat.

Potong Tali Pusat
Tali pusat yang dipotong akan ditanam bersama uri dan tembuni di sekitar kawasan rumah bersama duit tembaga, serbuk kunyit, garam dan pinang. Bahan-bahan ini dimasukkan bersama untuk mengelak dari dikorek oleh binatang liar dan tidak digunakan oleh ahli sihir.

Selepas Kelahiran
Menyapu Madu
Bayi yang baru dilahirkan juga akan disapu madu bercampur minyak sapi pada lidahnya. Di samping madu, air gula juga boleh digunakan. Minyak savvennai yang merupakan campuran minyak bijan, minyak lenga dan mambu juga kadangkala digunakan. Kegunaan minyak ini dipercayai boleh membawa kecantikan dan supaya bayi tidak diserang sebarang penyakit. Madu pula dikatakan dapat melembutkan lidah bayi dan memudahkan bayi bertutur.
Setitik minyak bijan yang dicampur dengan sedikit susu ibu dan disapu ke mulut bayi akan bertindak menjadi pelawas dalam sistem penghadaman dan membantu tumbesaran bayi tersebut.

Membawa Bayi Pulang Ke Rumah
Bayi yang dilahirkan di hospital akan dibawa pulang ke rumah pada hari ketiga, kelima, ketujuh dan sebagainya iaitu pada bilangan hari ganjil. Sebelum bayi dibawa masuk ke rumah upacara aalati dilakukan. Ia bertujuan untuk mengelakkan bala atau sebarang malapetaka dari pada berlaku.
Bagi upacara aalati ini, dulang yang mengandungi serbuk kunyit, kapur sirih yang dicairkan, arang, sirih dan kapur barus yang dinyalakan diangkat dan diputar tiga kali mengikut arah jam dan juga lawan jam. Dulang juga dilambai sebanyak tiga kali. Seterusnya para cumanggali akan mencelupkan ibu jarinya ke dalam dulang tersebut dan mencalitkan ke dahi ibu dan anak. Setelah ibu dan anak masuk ke dalam rumah, isi dulang aalati dibuang.

Mandi Selepas Bersalin
Apabila bayi dan ibu kembali ke rumah, mereka diasingkan dari ahli keluarga yang lain di sebuah bilik khas yang sentiasa dijaga kebersihannya. Bagi dua minggu pertama, orang luar dilarang melawat mereka kecuali untuk tujuan perubatan.
Jika proses bersalin secara pembedahan, ibu yang baru bersalin tidak dibenarkan mandi selama dua minggu atas sebab-sebab kesihatan akibat fizikal ibu yang lemah kerana pembedahan dan kesan kelahiran. Bagi ibu yang bersalin normal, si ibu akan mandi selang sehari selepas bersalin.
Bayi pula kebiasaanya dimandikan pada waktu tengah hari oleh seorang wanita yang berpengalaman. Mandian ini dilakukan dengan menyiram ke seluruh badan bayi dengan menggunakan air suam yang kadangkala dicampur dengan bahan-bahan herba. Ia bertujuan untuk mengelak penyakit sawan atau kuning. Susu juga digunakan sebagai bahan utama untuk melembutkan kulit bayi.
Ketika bayi dimandikan, urutan perlahan dilakukan pada tubuh bayi dan tulang belakang bayi supaya tidak bengkok. Bagi tujuan kecantikan, hidung, kening dan telinga turut diurut. Beberapa bahan seperti serbuk kunyit, minyak bijan, kas-kas dan kacang hijau yang ditumbuk digunakan sebagai pembersih badan bayi bertujuan untuk mengelakkan penyakit kulit dan melicinkan kulit bayi. Selesai dimandikan, bayi ditonggengkan dengan mengangkat kedua belah kaki sambil menepuk bahagian punggung untuk mengeluarkan kahak. Setelah itu bayi diasapkan dengan asap kemenyan, dan disapu dengan bedak yang diperbuat dari tepung beras supaya tidak dihinggapi ruam. Akhir sekali bayi akan dibedung dengan kain bertujuan untuk meluruskan anggota badan bayi.

Mendodoi Bayi
Upacara penting dalam masyarakat India ialah amalan mendodoi. Upacara  ini juga dikenali sebagai taalaattu bermaksud penggoyangan lidah. Upacara dimulakan dengan ucapan aaraaro aariraro atau cerita-cerita nasihat. Ia bertujuan agar bayi tersebut menjadi seorang yang berguna. Namun amalan ini semakin berkurangan dilakukan dan hanya diamalkan oleh generasi tua sahaja.

Memberi Nama
Sebaik sahaja bayi berusia enam belas hari, upacara pemberian nama dilakukan. Ia dilakukan dengan memasukkan bayi ke dalam buaian dan dikendalikan oleh ahli keluarga yang tertua yang arif tentang agama dan perkara yang berkaitan dengan dewa-dewa.
Nama-nama yang dipilih lazimnya berdasarkan almanak dengan mengikut tarikh kelahiran bayi. Nama-nama tokoh sejarawan, nenek moyang serta yang berkaitan dengan agama Hindu juga dipilih bagi bayi tersebut kerana nama yang dipilih ini akan mempengaruhi perwatakannya kelak.


Kematian
Bagi masyarakat India,mereka mempercayai konsep kelahiran semula,iaitu kematian adalah ibarat tidur dan mereka akan bangun selepas tidur.Sarjana India juga menyatakan kematian adalah perpisahan roh dan jasad,dimana jasad akan hancur ,tetapi kembali ke alam barzakh.Dalam masyarakat India,mayat akan dibakar atau di kebumikan.Untuk melaksanakan upacara ini pelbagai adat di tentukan.

Upacara menanggalkan thaali.
Thaali vaangutal merupakan upacara menanggalkan thaali semasa berlakunya sesebuah kematian dalam sesebuah keluarga.Thaali iaitu rantai suci perkahwunan hanya boleh ditanggalkan oleh isteri setelah suaminya meninggal dunia.

Upacara vaikkarasi
Setelah dimandi dan dihias cantik,mayat akan dimasukkan ke dalam keranda.Pada masa yang sama lagu-lagu suci dimainkan.Saudara mara akan member penghormatan yang terakhir kepada si mati dan mendoakan agar roh si mati akan tenang.Pada masa yang sama,ucapan tenna adudaiya shinanee pottri disebut beberapa kali sebagai menandakan upacara tersebut telah direstui oleh tuhan.Ahli-ahli keluarga akan mengelilingi mayat mengikut lawan jam sebanyak tiga kali sebagai tanda penghormatan. 

Kollic catti
Kollic catti bermaksud periuk tanah liat yang mengadungi api.Periuk tersebut di angkat dengan menggunakan pelepah kelapa yang dibelah tiga di bahagian hujung dan diikat pada periuk.Kollic catti dibawa oleh ahli keluarga si mati samada anak ataupun bapa.Anak sulung melakukan untuk bapa apa yang telah meninggal dunia dan anak bongsu untuk ibu.seseorang yang membawa kollic catti mengiringi mayat.Sebelum itu kollic catti.Sebelum itu pembawa kollic catti dikehendaki mencukur rambut.Ini menunjukkan bahawa mereka akan hidup lebih bahagia seperti rambut yang baru tumbuh.
 

No comments:

Post a Comment