Sunday 20 April 2014

Budaya dan Adat Kaum Melanau



 
Masyarakat Melanau merupakan masyarakat etnik di Sarawak.  Masyarakat Melanau mempunyai persamaan dengan masyarakat Melayu baik dari segi kepercayaan,  kebudayaan dan adat resam.

ADAT RESAM
 
Kelahiran
Sewaktu Mengandung
Ibu yang mengandung terikat kepada pengamalan pantang larang.  Kebanyakan larangan yang dikenakan banyak bergantung kepada faktor pemakanan seperti tidak boleh memakan buah-buahan yang berbau kuat seperti durian kerana badan akan menjadi busuk.  Wanita hamil juga tidak boleh makan pucuk-pucuk paku kerana susu badan akan menjadi masam.  Haiwan buruan yang dibunuh di dalam hutan tidak boleh diberikan kepada wanita hamil kerana diyakini anak dalam kandungan akan melecur seluruh badan. Semasa mengandung juga wanita tersebut tidak boleh ditakut-takutkan kerana dikhuatiri akan menyebabkan anak dalam kandungan cacat ataupun gugur.

Si suami juga dikehendaki menjauhi beberapa perkara.  Si suami tidak boleh memotong kayu yang bertindan atau memakan ikan pari kerana dikhuatiri bibir anak akan menjadi sumbing.  Si suami juga tidak boleh mengecat kerana dikhuatiri anak di dalam kandungan akan diiringi minyak.  Sekiranya terdapat sebarang kematian,  si suami tidak boleh melihat kerana anak di dalam kandungan akan mendapat penyakit.  Suami juga tidak boleh memotong akar temalet kerana anak akan meninggal dunia tanpa sebab.


Perkahwinan

Aspek pangkat dititikberatkan dalam institusi perkahwinan berbanding dengan institusi yang lain. Masyarakat Melanau juga begitu mementingkan status sosial mereka iaitu sembilan pikul,  tujuh pikul,  tujuh betirih dan lima betirih.  Jenis barangan dan hadiah yang perlu dibawa untuk tanda bertunang dan barang yang mengiringi mas kahwin seperti adat menuga,  adat mebin dan pakan juga dikira berdasarkan status sosial ini.  Namun begitu,  asas adat perkahwinan adalah sama seperti masyarakat lain iaitu merisik,  meminang dan majlis perkahwinan.

Majlis Perkahwinan
Majlis perkahwinan diadakan secara besar-besaran kecuali perkahwinan jenis 'peramas' iaitu perkahwinan ditangkap basah.  Persiapan untuk majlis ini berlangsung beberapa hari lebih awal.  Bakal pengantin lelaki dikehendaki menyerahkan hadiah mas kahwin iaitu 'penyekab' dan 'berian' dan hadiah lain seperti 'adat menuga',  'adat mebin' dan 'pakan' sehari' sebelum majlis itu diadakan.  Penyerahan ini disusul dengan acara pernikahan. Pernikahan boleh juga diadakan pada pagi keesokannya iaitu pada hari diadakan majlis perkahwinan.  Kenduri perkahwinan diadakan di rumah kedua-dua belah pihak pengantin lelaki dan pengantin perempuan yang dihadiri oleh sanak saudara,  jiran dan sahabat handai. Kemuncak acara majlis ialah persandingan yang biasanya diadakan pada tengah hari.
Selesai bersanding di rumah pengantin lelaki,  diadakan pula persandingan di rumah pengantin perempuan untuk menjalani 'adat petudui' iaitu penyerahan pelbagai barang; antaranya termasuklah sebentuk cincin emas dan seutas gelang perak oleh pengantin lelaki kepada pengantin perempuan.  Semasa menjalani adat ini,  kedua-dua pengantin dikenakan pelbagai pantang larang,  misalnya tidak boleh mandi di sungai dan tidak boleh tidur pada waktu siang. Pada sebelah malam, upacara makan nasi temuan diadakan
di rumah pengantin perempuan. 

Adat Rumah Tangga
Oleh sebab perkahwinan merupakan satu institusi yang penting,  terdapat beberapa peraturan dalam kehidupan mereka yang perlu diikuti oleh kedua-dua pasangan pengantin sama ada lelaki atau perempuan.  Antara peraturan yang perlu diikuti oleh mereka ialah:

-Setelah menjadi pasangan suami isteri,  suami tidak boleh menetak bumbung rumah dengan parang kerana cara ini boleh menyebabkan hubungan renggang antara suami dan isteri.

-Suami tidak boleh memerah kelapa yang sudah diparut kerana boleh menyebabkan perut isteri sakit atau memulas.

-Pakaian yang dipakai semasa upacara perkahwinan tidak boleh dijahit walaupun koyak kerana boleh menyebabkan penyakit di kalangan suami isteri.

-Isteri dilarang keras memarut rumbia atau menyeberangi sungai kerana akan jatuh sakit sehingga boleh menyebabkan anak di dalam kandungan keguguran.

Pakaian
Lelaki
Pakaian lelaki Melanau dari satin berwarna gelap dipadankan dengan kain songket bunga tabur dan pakaian kepala sengkulon dari Jawa. 

Wanita
-Baju baldu hitam dengan sarung songket Brunei tenunan Sarawak,  bertali pinggang pending besar,  diserikan dokoh dan perhiasan kepala kepih sanggul.
-Baju Baban asal pakaian pengantin Melanau.  Baju kurung pendek warna hitam dipadankan dengan kain songket.  Di dada memakai 2 helai selendang merah dan perhiasan diri kepih dada dan kepih sanggul.

No comments:

Post a Comment