Monday 14 April 2014

Budaya dan Adat di Malaysia

Pengenalan 

Adat secara umumnya didefinisikan sebagai suatu aturan dan cara hidup. Ianya mencerminkan segala perbuatan yang adakalanya dilakukan setiap hari ataupun musim sama ada berpandukan bulan atau tahun. Suatu perkataan yang sinonim dengan adat ialah budaya. Walaupun dari aspek bunyinya ia berbeza, tetapi dari segi pengertiannya, ia adalah konsep yang saling bergantung dan sama.
Adat seperti yang didefinisikan tadi ialah cara hidup iaitu tingkah laku, kepercayaan dan sebagainya. Adat bersifat maya iaitu tidak dapat dilihat. Ia timbul daripada suatu pemikiran berkenaan cara hidup dan tidak dizahirkan. Apabila ianya dizahirkan dan dapat dilihat perlaksanaanya, itu sudah menjadi suatu budaya. Maknanya, budaya ialah suatu bentuk perlakuan yang mencerminkan adat sesuatu masyarakat itu.
Kerana dua entiti ini terlalu berkait sifatnya, kita pada hari ini selesa menjadikan adat dan budaya itu sebagai satu benda yang sama. Budaya yang difahami dan dilihat, hakikatnya ialah adat. Budaya bersifat tidak tetap dan boleh berubah, justeru wujud pengkelasan budaya tradisional dan budaya moden, ini menunjukkan budaya lama dan budaya hari ini tidak sama, maka ia jelaslah boleh berubah. Adat pula ialah suatu ketetapan yang tidak boleh berubah, oleh itu bolehlah kita katakan adat sebagai budaya yang asal.

Kepentingan adat resam di dalam hidup masyarakat tidak kira apa bangsa sekalipun tidak dapat dinafikan. Adat tersebut bermula dari dalam perut ibu, kelahiran, perkahwinan sehinggalah kematian terdapat di dalam hidup semua masyarakat di Malaysia. Adat resam merupakan kebiasaan cara hidup yang diamalkan oleh sesuatu masyarakat yang dapat menggambarkan corak budaya masyarakat tersebut. Malaysia mempunyai pelbagai kaum yang mencorakkan pelbagai seni budaya dan adat masing-masing yang berlainan. Kepelbagaian adat resam yang terhasil daripada penduduk yang pelbagai bangsa dan etnik menghasilkan variasi budaya yang perlu difahami oleh generasi muda. Kepelbagaian kaum di Malaysia mencorakkan kepelbagaian dari aspek adat kehidupan seharian termasuk kelahiran, perkahwinan dan kematian. Adat-adat ini lebih dipengaruhi oleh agama masing-masing. Pengaruh agama juga membentuk pelbagai perayaan yang berlainan. Perbezaan budaya juga boleh dilihat dari segi bahasa, pakaian, makanan dan hiburan tradisional.

No comments:

Post a Comment